TALKSHOW SEMBANG KINI

SIMULASI BUAL BICARA/TALK SHOW SIMULATION SMM10403- PENULISAN SKRIP DAN PAPAN CERITA DIGITAL (SCRIPT WRITING AND DIGITAL STORYBOARD) SEMESTER 1 2021/2022 NAMA PELAJAR/STUDENT’S NAME & NO. MATRIK/MATIC NO. 1. SITI NUR HUDA BINTI MOHD RIZAL (211420185) 2. NUR ALISYA HANIM BINTI ALI HIRAHAM (211420112) 3. NOR SAZLIYANA BINTI AZMI (211420100) 4. NUR WAJIHAH ALAUWIAH BINTI ABD HALIM (211420141) 5. NUR BATRISYIA BINTI SAKEK (211420119) 6. NUR SAKINAH BINTI SAIDIN (211420132) 7. NUR SYAZA QISTINA BINTI SHAMSOL (211422298) KUMPULAN/GROUP: 17 TAJUK BUAL BICARA/TITLE OF TALK SHOW: SEMBANG KINI JENIS/GENRE TYPE/GENRE: Sosial- Kehidupan sebelum dan sewaktu Covid-19 DURASI/DURATION: 30 minit PENERBIT/PRODUCER: Seventeen Production SINOPSIS/SYNOPSIS (50-100 patah perkataan) Bual bicara “sembang kini” ialah sebuah program bual bicara khusus buat semua golongan dengan kerjasama strategik Seventeen Production. Bual bicara ini berkaitan kandungan format yang dirangka untuk mengetengahkan topik dan perkongsian mengenai pelajar, suri rumah, guru dan usahawan yang menjalani kehidupan sebelum dan sewaktu COVID-19. Terdapat dua segmen dalam bual bicara ini yang dikendalikan oleh seorang moderator berbakat, dua hos yang petah berkata-kata dan empat orang tetamu undangan yang diundang khas untuk menyampaikan pandangan, luahan dan pendapat mereka berkaitan isu yang akan dikupas bersama-sama. Bual bicara ini akan berdurasi selama 30 minit dan bakal bersiaran secara eksklusif di Google Meet pada hari Sabtu pada jam 10 pagi. HOS & TETAMU/HOST & GUEST Moderator - Nur Sakinah Hos 2 - Siti Nur Huda Hos 3 - Nur Alisya Hanim Guest 1- Pelajar (Nur Batrisyia) Guest 2 – Suri rumah(Nor Sazliyana) Guest 3 – Guru (Nur Wajihah Alauwiah) Guest 4 – Usahawan (Nur Syaza Qistina) SKRIP/SCRIPT MODERATOR- NUR SAKINAH Sayang kumbang mencari makan, Terbang seiring di tepi kali, Selamat datang kami ucapkan, Moga diiringi restu Ilahi. Nenek moyang kehilangan gigi, Tidak mampu untuk bicara, Pemanis kalam selamat pagi, Awal bismillah pembuka bicara. Bismillahhirrahmanirrahim, Assalamualaikum w.b.t, selamat sejahtera dan salam 1 Malaysia saya ucapkan kepada seluruh penonton Budiman yang sedang mengikuti rancangan kita pada hari ini. Sidang hadirin yang dihormati, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, dapat kita bersama-sama bersua pada pagi yang serba indah ini. Saya, Nur Sakinah binti Saidin akan bersama-sama hadirin sekalian bagi mengerusikan bual bicara kita pada pagi ini. Sebelum kita mulai bual bicara kita pada hari ini, saya ingin memperkenalkan dua orang hos yang akan memimpin sesi bual bicara kita pada hari ini. Baiklah, hos kita yang pertama saudari Siti Nur Huda dan bersamanya hos yang kedua ialah saudari Nur Alisya Hanim. Setelah kita mengenali dua orang hos kita, saya akan memperkenalkan empat orang tetamu jemputan yang sudi hadir untuk membantu kita melancarkan sesi bual bicara kita pada pagi ini. Baiklah bersama kita tetamu yang pertama ialah saudari adik Nur Batrisyia merupakan seorang pemimpin pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Derma. Hari ini adik Nur Batrisyia akan bersama-sama kita untuk berkongsi jalan kehidupan sebagai seorang pelajar dalam situasi pandemik ini. Selamat datang saya ucapkan kepada saudari Nur Batrisyia kerana sudi bersama-sama kita dalam rancangan ‘Sembang Kini’. Seterusnya, perkenalkan tetamu kita yang kedua ialah puan Nor Sazliyana selaku wakil suri rumah yang akan bersama-sama kita pada pagi ini untuk berkongsi jalan cerita beliau mengenai norma baharu seorang suri rumah sebelum dan selepas terjadinya pandemik ini. Puan Sazliyana merupakan tetamu yang sangat sesuai untuk menghadiri sesi bual bicara kita pada hari ini bagi mewakili suri rumah yang lain kerana Puan Sazliyana ini merupakan seorang suri rumah sepenuh masa dan tidak bekerja. Jadi banyak perkara yang boleh beliau kongsikan kepada kita mengenai kehidupan beliau sepanjang rancangan ini. Tetamu kita yang ketiga lagi segak dan bergaya, Puan Nur Wajihah selaku guru pendidikan dan beliau juga pemegang jawatan penolong kanan hal ehwal pelajar yang kini berada di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma. Kedatangan beliau sangat dialukan untuk berkongsi pendapat beliau mengenai sesi pembelajaran sebagai seorang guru di sekolah sejak wabak COVID-19 melanda. Selamat datang saya ucapkan. Dan tak ketinggalan juga tetamu yang terakhir kita, nampak pemalu tetapi petah berkata, saudari Nur Syaza Qistina. Beliau merupakan salah seorang usahawan muda yang menggunakan internet sebagai medium untuk memasarkan produk jualan untuk semua jenis pelanggan di luar sana yang saya kira sudah berjaya menarik ramai pengguna. Selamat datang juga saya ucapkan kerana sudi hadir dalam rancangan kita pada pagi ini. Sebelum kita memulakan perbincangan ini, izinkan saya mengupas sedikit tentang tajuk rancangan kita pada hari ini. Topik perbincangan kita pada hari ini adalah mengenai bagaimana kita dapat mendepani kehidupan norma baharu dalam situasi wabak COVID-19 ini. Sebagaimana kita tahu Coronavirus atau dikenali sebagai COVID-19 adalah penyakit berjangkit yang berpunca daripada virus corona yang baru ditemui. Kes pertama yang dilaporkan adalah pada tanggal Disember 2019 di Wuhan, China. Pepatah ada mengatakan sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk, begitulah semangat yang ditunjukkan rakyat Malaysia dalam mendepani dunia norma baharu. Walaupun pandemik COVID-19 masih belum menemui penghujungnya, namun semangat rakyat untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) tidak pernah luntur. Malah, banyak program dan kempen pembudayaan norma baharu terus disambut baik semua pihak. Oleh itu, SELAMAT DATANG KE PROGRAM ‘SEMBANG KINI’ Bagi memulakan sesi bual bicara kita pada hari ini saya akan meneruskan kepada hos pertama kita iaitu saudari Siti Nur Huda untuk memulakan sesi bual bicara bersama-sama tetamu kita pada hari ini. Dipersilakan. SEGMEN 1 HOS 1- SITI NUR HUDA Terima kasih kepada saudari moderator. Baiklah. Berbalik kepada isu yang akan dibincangkan apakah pendapat adik Batrisyia tentang pembelajaran sebelum dan sewaktu sejak Covid ini sebagai seorang pelajar? GUEST 1- PELAJAR (NUR BATRISYIA) Baiklah. Assalamualaikum semua terima kasih kerana menjemput saya untuk berbagikan pengalaman pada hari ini dan terima kasih saudari Huda atas pertanyaan yang diberikan. Mengikut pengalaman saya, sudah pasti perbezaannya amatlah ketara sebelum dan sewaktu covid ini melanda kita. Belajar di sekolah merupakan pembelajaran yang memerlukan kita untuk berkomunikasi dengan baik antara cikgu dan pelajar serta rakan sekelas. Kami juga sebagai pelajar mudah untuk bertanya dengan guru dan memahami pengajaran daripada guru apabila bersemuka. Selain itu, pelbagai aktiviti dapat dilakukan seperti aktiviti dari rumah sukan, badan persatuan dan lain-lain lagi. Kami juga dapat bergaul dengan bebas tanpa penjarakan sosial dan menggunakan pelitup muka sentiasa. Saya,rakan sekelas dan mungkin juga semua pelajar yang lain tidak menyangka akan merindui memori sebelum covid 19 melanda. Seterusnya, pembelajaran sewaktu covid 19 ini sebenarnya amat mencabar bagi saya. Kami sebelumnya sedang menjalani cuti pertengahan tahun, lalu berita peyebaran wabak covid 19 ini semakin berleluasa hingga seluruh negara harus “lockdown”. Kerja rumah yang diberikan oleh guru sudah semestinya banyak kerana cuti sekolah sedang berlangsung namun disebabkan kepanjangan cuti diberikan oleh pihak KKM menyebabkan homework lambat disiapkan. Maklumlah mendengar perkataan cuti ini adalah sesuatu perkara yang menggembirakan para pelajar untuk tidak ke sekolah dan tidak dimarahi oleh guru. Namun seperti yang telah dijalankan dan cuti yang terlalu panjang merisaukan pihak sekolah dan guru-guru maka kelas atas talian pun dijalankan untuk kesemua subjek. Kelas “online” yang dijalankan menggunakan Google Meet, Telegram, WhatsApp ini memerlukan para pelajar menyatakan kehadiran, menjawab soalan yang dibincangkan dan membentangkan pembentangan tajuk yang telah diajar.. Jujur dikatakan hanya minggu pertama kelas online dijalankan mendapat sambutan iaitu para pelajar mengikuti kelas namun minggu seterusnya pelbagai alasan yang akan muncul iaitu bangun akhir, masalah internet dan ada juga yang hilang dari radar. Ada juga yang tidur sewaktu kelas berlangsung kerana tiada siapa yang nampak maka pengajaran dan pembelajaran tidak masuk di kepala mereka-mereka ini. Jadi itu sesuatu yang agak merisaukan ketika menjalankan kelas online. HOS 1- SITI NUR HUDA Terima kasih saudari Batrisyia atas penerangan yang jelas sebentar tadi.Jadi berbalik kepada penerangan dalam huraian saudari Batrisyia sebentar tadi, saya dapat simpulkan bahawa pembelajaran secara online amatlah sukar kerana masalah capaian internet serta komitmen pelajar hadir ke kelas dalam talian merupakan cabaran utama. Oleh itu, suasana pembelajaran yang tidak kondusif juga menyebabkan pelajar sukar untuk memberi tumpuan semasa sesi pembelajaran. Berdasarkan cerita adik Batrisyia sebentar tadi, secara keseluruhannya setiap pelajar lebih memilih untuk mengadakan kelas secara fizikal berbanding mengadakannya secara maya. Bukan sahaja memberi masalah kepada pelajar malah ia juga memberi kesan terhadap pengajarnya juga. Seterusnya, kita akan meneruskan lagi perbincangan yang akan dipimpin oleh saudari Nur Alisya Hanim. Dipersilakan saudari. HOS 2 – NUR ALISYA HANIM Terima kasih saudari Siti Nur Huda. Bersama kita pada hari ini Puan Sazliyana di saluran google meet yang merupakan seorang suri rumah dan ibu kepada 3 orang cahaya mata. Assalamualaikum Puan Sazliyana. Terima kasih puan kerana sudi turut hadir ke rancangan kami. Bolehkah puan kongsikan kepada kami dan penonton pengalaman dan perubahan yang dirasai apabila berlakunya Covid-19? GUEST 2 – SURI RUMAH (NOR SAZLIYANA) Waalaikumussalam, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudari Alisya diatas persoalan itu dan terima kasih juga sudi menjemput saya ke rancangan ini. Pada pendapat saya, kehadiran pandemik covid 19 ini banyak membawa perubahan. Pertama sekali berlaku perubahan pada rutin seharian. Jika sebelum hadirnya covid-19 bangun pagi saya akan membuat beberapa kerja terlebih dahulu, seterusnya menyediakan sarapan untuk suami dan anak- anak. Selepas itu, suami akan menghantar anak- anak ke sekolah dan terus ke tempat kerja. Saya akan teruskan dengan mengemas rumah, keluar membeli keperluan rumah seperti barang dapur dan lain lain. Selepas pulang saya akan berehat seketika sebelum menyediakan makanan untuk anak- anak yang bakal pulang dari sekolah. Seterusnya di petang hari saya akan saya akan siap sedia untuk masak makan malam. Selepas selesai makan malam saya akan menyiapkan baju kerja suami saya untuk kerja keesokan hari. Selepas selesai semua barulah saya dapat berehat. Inilah rutin seharian saya sebelum kehadiran covid 19. selepas hadirnya covid-19 rutin harian saya banyak berubah. Mana tidaknya jika dahulu suami keluar ke tempat kerja dan anak anak ke sekolah. Namun, selepas hadirnya covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) pula dilaksanakan mereka hanya duduk di rumah sahaja. Segala tugas dan kerja seharian mereka dilakukan dirumah sahaja. Ini menyebabkan bertambahnya rutin seharian saya sepanjang hari dari celik mata sehingga pejam semula. Bangun pagi masih lagi menyediakan sarapan untuk suami dan anak- anak dan seterusnya mengemas rumah. Sambil mengemas rumah saya juga perlu mengawasi keadaan anak- anak sepanjang hari. Adakah mereka ada kelas online mahupun kerja- kerja sekolah yang perlu diberi fokus. Malah terpaksa juga menjadi guru dirumah mengajar dan membantu anak- anak menyiapkan kerja- kerja yang diberikan oleh guru. HOS 2- NUR ALISYA HANIM Baikah terima kasih atas perkongsian pengalaman puan Sazliyana. Sangat memuaskan sekali pendapat yang dikongsikan oleh Puan Sazliyana mengenai isu ini. Benar sekali yang dikatakan puan bahawa setiap suri rumah mempunyai rutin harian masing-masing dalam menguruskan keluarga. Sebelum ini, suami pergi kerja dan anak-anak pergi sekolah kini semuanya berubah,semuanya dilakukan secara maya seperti suami bekerja di rumah dan anak-anak juga menghadiri kelas online di rumah. Pemantauan juga tidak terbatas sebelum ini kerana sekarang pemantauan dan juga penjagaan semuanya seratus peratus di rumah dan ini adalah tanggungjawab yang besar bagi seorang suri rumah. Sememangnya menjadi suri rumah amat memenatkan lagi- lagi dikala pandemik ini. Bukan sahaja tugas sebagai isteri dan ibu di rumah sahaja malah pendidik juga. Kita akan bersambung dengan pertanyaan seterusnya yang akan dipimpin oleh Siti Nur Huda. Dipersilakan HOS 1- SITI NUR HUDA Baiklah, terima kasih saudari Nur Alisya Hanim. Selamat datang kepada tetamu terhormat kita pada hari ini iaitu Puan Nur Wajihah Alauwiah yang merupakan seorang guru. Bagi persoalan yang seterusnya, apakah pandangan Puan sebagai seorang guru yang sebelum ini mengajar secara bersemuka tapi kini dalam talian? GUEST 3- GURU (NUR WAJIHAH ALAUWIAH) Okay, baiklah. Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada semua. pertama sekali, saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua krew sembang kini kerana sudi menjemput saya ke bual bicara ini dengan topik yang sangat menarik. Saya berasa sangat berbesar hati kerana dapat bersama semua pada hari ini. Terima kasih saudari huda atas persoalan sebentar tadi,Sebagai seorang guru, mengajar merupakan rutin harian bagi saya. Namun, akibat pandemik covid-19 ini, proses pengajaran dan pembelajaran telah menjadi satu cabaran baru bagi saya. Sebagai seorang guru yang dulunya mengajar secara bersemuka tetapi kini mengajar secara dalam talian, jujur saya katakan bahawa mengajar secara bersemuka adalah lebih mudah. Mudah saya maksudkan disini adalah komunikasi antara saya dan pelajar kerana pdp secara dalam talian ini telah membatasi keberkesanan komunikasi tersebut. Pelajar boleh berinteraksi dengan saya sama ada semasa kelas berlangsung atau melalui sosial media, selain itu, kebanyakan mereka hanya akan mendiamkan diri sepanjang pdp berlangsung. Hal ini menyukarkan saya untuk mengenalpasti pelajar yang benar-benar fokus di kelas atau berpura- pura memahami pembelajaran tersebut. Tambahan pula kebanyakan pelajar tidak mempunyai kemudahan telefon pintar dan rangkaian internet untuk turut serta dan aktif dalam sesi pembelajaran secara dalam talian. Sudah tentu sebagai guru, saya tidak boleh membiarkan pelajar terus dalam keadaan pasif seperti itu namun, sesal saya katakan tidak banyak yang saya boleh lakukan secara individu. Namun, dengan sokongan pihak sekolah dan guru-guru lain, alhamdulillah kebanyakan pelajar dapat mengatasi masalah tersebut. HOS 1- SITI NUR HUDA Terima kasih kepada Puan Wajihah atas penerangan yang jelas sebentar tadi. Saya amat bersetuju dengan beliau mengenai pembelajaran secara maya ada kekangannya, misalnya pelajar tidak hadir dan tidur di dalam kelas sepanjang sesi pengajaran dengan sengaja. Hal ini terjadi kerana, guru tidak dapat kesan apa yang dilakukan oleh setiap pelajar di belakang tabir setiap kali kelas online dijalankan Saya dapat simpulkan bahawa dalam keadaan sekarang pembelajaran atas talian bukanlah satu yang mudah kerana sukar berinteraksi antara guru dan pelajar. Jika secara fizikal kita dapat lihat reaksi pelajar kita sama ada mereka faham atau tidak. Oleh itu, seorang guru harus kreatif dan menukar cara pembelajaran mengikut kesesuaian pelajar. Seterusnya, kita akan meneruskan pertanyaan yang seterusnya dipimpin oleh saudari Alisya untuk menanyakan soalan kepada tetamu yang terakhir kita bagi segmen ini. Dipersilakan. HOS 2- NUR ALISYA HANIM Baiklah, terima kasih saudari Siti Nur Huda. Bersama kita pada hari ini, saudari Nur Syaza Qistina seorang usahawan muda yang giat menjalankan perniagaan secara atas talian. Bolehkah Cik Syaza ceritakan kesan baik dan buruk terhadap perniagaan yang dijalankan oleh cik semasa COVID-19? Apakah kesukaran yang dihadapi oleh Cik Syaza? Bagaimana Cik Syaza tetap meneruskan perniagaan secara atas talian walaupun menghadapi pelbagai rintangan? GUEST 4- USAHAWAN (NUR SYAZA QISTINA) Covid-19 memberi banyak kesan terhadap perniagaan saya, sama ada dari segi baik atau buruk. Saya akan mulakan perkongsian saya dengan menjelaskan keburukan covid-19 terhadap perniagaan saya. Pertama sekali, saya tidak dapat menjalankan urusan menjual secara bersemuka dengan pelanggan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung. Seterusnya, hal ini menyebabkan permintaan dan penawaran produk saya merosot. Selain itu, saya juga mengalami kekurangan bahan mentah. Maka ini menyebabkan jualan saya merudum. Tambahan pula, kesan daripada pengeluaran produk yang terhad, saya mengalami kesukaran membayar sewa premis perniagaan dan kesukaran membayar semula pinjaman perniagaan. Namun, hal ini tidak menjatuhkan saya untuk terus berniaga. Saya mula mencari ikhtiar yang lain untuk berniaga dan saya mula menemui kebaikan Covid-19 terhadap perniagaan saya. Kebaikan Covid-19 ini ditemukan apabila saya mula berniaga secara atas talian. Selepas berniaga secara atas talian, jualan saya kembali meningkat malah melonjak daripada jualan yang biasa yang saya dapati ketika berniaga secara tradisional. Selain itu, semasa Covid-19 berlaku, kerajaan mula memberi insentif terhadap peniaga-peniaga yang layak menerima. Ini sekaligus dapat meringankan sedikit beban usahawan seperti saya ini. Antara insentif yang diberi termasuk pengecualian bayaran premis perniagaan, pengecualian bayaran sewa tanah dan penangguhan bayaran balik pinjaman perniagaan. HOS 2- NUR ALISYA HANIM Terima atas penjelasan itu tadi. Benar sekali apa yang dikatakan oleh beliau mengenai kesukaran berniaga sejak berlakunya pandemik ini. Oleh itu, peniaga perlulah bijak mencari jalan penyelesaian bagi mengharungi segala masalah ini agar tidak berputus asa untuk melanjutkan perniagaan mereka. Memang ada ketika masa kita akan jatuh dan ada ketika masa kita akan bangkit semula. Oleh itu, mari kita kembali kepada saudari moderator untuk menguruskan segmen yang seterusnya. MODERATOR- NUR SAKINAH Terima kasih kepada saudari Siti Nur Huda dan saudari Nur Alisya Hanim serta semua tetamu jemputan kita atas penyampaian yang sangat mulus sebentar tadi. Oleh itu, berakhir sudah sesi bual bicara bagi segmen yang pertama kita pada hari ini. Sebentar tadi kita telah mendengar pendapat daripada empat orang tetamu jemputan yang hadir pada hari ini mengenai kehidupan norma yang mereka hadapi sebelum dan selepas berlakunya pandemik COVID-19 ini. Seterusnya, kita akan meneruskan bual bicara ini dengan persoalan di segmen yang kedua. SEGMEN 2 MODERATOR- NUR SAKINAH Baiklah, berbalik sudah kita di segmen yang kedua. Dalam era pandemik ini, pelbagai cara setiap orang mengadaptasi diri mereka dalam norma baharu ini. Setiap orang mempunyai langkah dan cara yang berbeza untuk meneruskan kehidupan mereka sepanjang norma baharu ini. Marilah kita mendengarkan satu per satu dari setiap tetamu kita pada hari ini mengenai isu ini. Saya akan meneruskan sesi bual bicara ini dengan beralih kepada hos yang pertama kita iaitu saudari Siti Nur Huda. Dipersilakan. HOS 1- SITI NUR HUDA Baiklah, terima kasih saudari moderator. Sudah pasti norma baharu ini sesuatu yang janggal untuk kita amalkan. Oleh itu, adik sebagai seorang pelajar bagaimana cara adik mengekalkan kehadiran kelas secara online dan bersemuka sekaligus memastikan sop terjaga? GUEST: PELAJAR (NUR BATRISYIA) Soalan yang ditunggu-tunggu dan menarik sekali. Ketika online kelas berlangsung saya akan ingatkan diri sendiri bahawa kelas sudah bermula dan tak boleh lalai lagi, set masa bangun di telefon, dan kalau masih tak bangun lagi terpaksa ibu yang kejutkan sebab mak saya pun selalu tanya awal pagi ada kelas tak hari ini kalau ada, dia suruh bangun terus jadi kehadiran sewaktu kelas online ini agak terjaga sikit. Untuk sewaktu kelas bersemuka dijalankan saya agak bersemangat untuk turun ke sekolah walaupun pada masa itu agak janggal dan kekok sebab dah lama tak datang sekolah jumpa cikgu dan kawan-kawan. Sebelum hari persekolahan pula saya sudah menyediakan hand sanitizer sendiri, membawa tisu basah, sabun kecil dan pelitup muka lebih kerana takut yang dipakai putus. Untuk SOP di sekolah pula seperti yang telah diarahkan oleh pihak KKM dan Kementerian Pelajaran atas dasar-dasar SOP yang perlu diikut oleh pelajar-pelajar yang lain seperti penjarakkan meja 1 meter, tidak boleh bergaul atau rapat-rapat dengan kawan dan sanitize kelas-kelas ketika kami sudah balik oleh pihak sekolah maka itu sudah cukup memuaskan untuk kita pelajar ini datang ke sekolah dengan selamat daripada wabak covid-19 ini serta belajar dengan tenang dan aman. HOS 1- SITI NUR HUDA Terima kasih kepada adik Batrisyia atas perkongsian sebentar tadi. Cara yang sangat efektif bagi setiap pelajar. Pelajar-pelajar yang lain juga boleh mempratikkan cara-cara ini sepanjang berlangsungnya kelas secara dalam talian. Ia amatlah mudah dan teratur bagi membahagikan masa pembelajaran yang padat. Seterusnya, kita akan meneruskan lagi persoalan bagi tetamu yang kedua kita. Dijemput saudari Alisya untuk memimpin perbincangan yang seterusnya. HOS 2- NUR ALISYA HANIM Terima kasih kepada saudari Siti Nur Huda. Golongan wanita terutama ibu atau suri rumah mempunyai peranan besar dalam mengekang penularan pandemik COVID-19 serta memberikan kerjasama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya ingin bertanya kepada Puan Sazliyana, bagi Puan pula bagaimana Puan ingin menguruskan tanggungjawab sebagai suri rumah, ibu dan sebagai seorang isteri dalam memastikan ahli keluarga selamat daripada jangkitan semasa berada di rumah? GUEST: SURI RUMAH (NOR SAZLIYANA) Terima kasih atas soalan yang diajukan itu, tanggungjawab suri rumah sering dipandang remeh oleh pelbagai pihak. Sebenarnya menjadi seorang suri rumah tanggungjawabnya amatlah besar. Lebih- lebih lagi ketika berlaku pandemik COVID-19. Bukan sahaja tanggungjawab seorang suami penting tetapi tanggungjawab seorang suri rumah juga memainkan peranan penting dalam sesebuah institusi keluarga. Saya mengatakan bergini kerana dimana saya bertanggungjawab menjaga ahli keluarga malah perlu menjaga kesejahteraan rumah untuk mengelakkan ahli keluarga saya dijangkiti virus COVID-19. Saya perlu berfikiran positif supaya ahli keluarga saya berada dalam keadaan tenang. Seterusnya saya juga perlu mengikuti setiap perkembangan pandemik yang berlaku supaya saya dan keluarga dapat lebih bersedia dengan apa saja kemungkinan yang bakal berlaku. Dahulunya saya yang keluar membeli barang keperluan rumah namun apabila berlaku pandemik COVID-19 hanya suami yang akan keluar dan apabila pulang suami saya akan terus mandi dan membasuh pakaian yang dipakainya. Ini adalah langkah pencegahan yang dilakukan oleh keluarga kami. Kami seisi keluarga juga kerap melakukan aktiviti bersama ketika waktu lapang untuk mengelakkan rasa bosan dan rasa ingin keluar. Saya juga perlu lebih cakna tentang kebersihan rumah. Ketika dirumah juga kami akan kerap melakukan sanitasi, membasuh tangan dan mandi. HOS 2- NUR ALISYA HANIM Terima kasih atas cadangan-cadangan yang disampaikan oleh tetamu kita sebentar tadi, dengan mengamalkan cara itu, para suri rumah yang lain dapat menjimatkan masa mereka malah memudahkan lagi pekerjaan mereka di rumah. Para suri rumah yang lain patut mencatat semua isi-isi penting yang disampaikan oleh puan Sazliyana untuk dipraktikkan di rumah. Cadangan yang sangat menarik Puan Sazliyana. Perkongsian puan pada hari ini sangatlah jelas sehingga dapat memupuk suri rumah yang lain untuk mencuba tips itu kepada keluarga mereka juga. Baiklah, kita akan bersambung dengan soalan yang seterusnya, dipersilakan saudari Siti Nur Huda untuk mengambil alih bual bicara ini. HOS 1- SITI NUR HUDA Terima kasih kepada saudari Nur Alisya Hanim. Seterusnya kita akan bersambung dengan pertanyaan yang ketiga iaitu ditujukan kepada seorang guru. Bagaimana pula persediaan seorang guru yang boleh dilakukan bagi memudahkan sesi pengajaran kepada murid-murid lebih lancar? Dan bagaimanakah cara untuk menarik perhatian murid-murid supaya kekal fokus dalam sesi pembelajaran yang guru adakan di kelas virtual. Mohon penjelasan puan. GUEST: GURU (NUR WAJIHAH ALAUWIAH) Baiklah, terima kasih saudari Huda atas persoalan yang diberi. Seperti umum sedia maklum, pdp dalam talian ini menggunakan aplikasi seperti Zoom, Google Meet, Google Classroom dan Skype untuk memudahkan sesi pembelajaran secara dalam talian. Namun, bagi pelajar yang tiada kemudahan peranti dan rangkaian internet, kami sebagai guru-guru telah menyediakan modul pembelajaran dalam bentuk fizikal untuk kegunaan pelajar. Ibu bapa boleh menuntut modul tersebut di pondok pengawal sekolah atau guru-guru boleh menghantar modul tersebut terus ke rumah pelajar. Dengan cara ini, keresahan pelajar kerana tidak dapat turut serta dalam sesi pembelajaran secara dalam talian dapat dikurangkan. Selain itu, bagi menarik tumpuan pelajar, saya juga menggunakan aplikasi Kahoot! dan Quizizz untuk menguji tahap kefahaman pelajar terhadap topik yang telah mereka pelajari. Ujian ini dapat membantu pelajar untuk fokus di dalam kelas sekiranya mereka ingin mendapat keputusan yang baik. Seterusnya, saya juga membuat rakaman video mengenai topik yang berkemungkinan sukar untuk pelajar. Saya akan memuat naik video tersebut di YouTube dan berkongsi link dengan pelajar supaya mereka dapat melihat video tersebut pada bila-bila masa sahaja. Saya juga akan pastikan video saya itu mudah difahami, kreatif dan yang paling penting dapat menarik minat pelajar. Dengan ini, pelajar yang berminat akan mula memberi tumpuan dalam kelas saya. Say juda akan menukar cara pembelajaran secara daily basis supaya minat pelajar akan tertumpu di kelas saya Setakat ini sajalah perkongsian saya, dan sebagai seorang guru saya akan terus mendidik para pelajar dengan penuh dedikasi. Sekian terima kasih. HOS 1- SITI NUR HUDA Persediaan yang sangat teratur dan memuaskan sekali puan. Para guru yang lain juga boleh mempraktikkannya kepada pelajar mereka juga untuk melihat perkembangan para pelajar sepanjang sesi pembelajaran. Cara yang efektif boleh membuah hasil yang luar biasa ke atas masa depan anak-anak muda. Dengan cara ini sudah semestinya tiada masalah lagi bagi para guru yang lain untuk mengadakan kelas secara dalam talian. Bukan itu, sahaja puan juga menggunakan cara yang sangat menarik sekali untuk menarik perhatian murid-murid agar kekal fokus di dalam kelas. Terima kasih atas perkongsiannya puan. Baiklah, kita akan meneruskan dengan soalan terakhir yang akan dipersoalkan oleh saudari Alisya, Dipersilakan. HOS 2- NUR ALISYA HANIM Terima kasih kepada saudari Siti Nur Huda. Dengan ini, saya akan menujukan soalan yang terakhir kepada tetamu yang terakhir kita iaitu saudari Syaza. Baiklah cik Syaza, soalan ini berkaitan dengan hasil penjualan perniagaan yang puan sedang jalankan sekarang. Sudah semestinya Cik Syaza mempunyai satu rahsia atau mungkin kaedah yang boleh dikongsi untuk menaikkan lagi keuntungan perniagaan yang diusahakan. Apakah cik Syaza boleh berkongsi dan menjelaskan bagaimana seseorang usahawan itu dapat mengambil peluang emas ini untuk mempromosikan barang perniagaan mereka walaupun berada dalam situasi pandemik ini? GUEST: USAHAWAN (NUR SYAZA QISTINA) Pada pendapat saya, rahsia utamanya adalah kerajinan diri sendiri. Saya tahu, selepas pandemik ini berlaku, banyak usahawan lain yang mengalami kerugian putus asa dan tidak berniaga lagi. Jadi, janganlah disebabkan satu kegagalan kita berputus asa, kita harus berusaha mencari cara lain untuk mencapai kejayaan. Daripada kejadian pandemik Covid-19 ini, usahawan boleh mengambil peluang emas untuk belajar cara baru untuk berniaga. Contohnya, saya sendiri mula belajar cara berniaga secara atas talian dan taktik untuk mengembangkan perniagaan saya. Antaranya, saya mula menjual barangan saya di platform e-dagang yang tersedia di dalam negara seperti Shopee, Lazada, Grab dan lain-lain. Saya juga mengambil serius terhadap promosi barangan saya. Saya mula belajar pelbagai ilmu mempromosi barangan di setiap aplikasi sosial media. Contohnya, cara mengiklankan barangan di aplikasi Instagram yang dapat menarik perhatian pelanggan ialah dengan susun atur yang cantik, jelas dan berinformasi. Selain itu, usahawan boleh membuat tawaran istimewa dan diskaun sempena sebarang perayaan. Seterusnya, usahawan boleh membuat video tentang kebaikan produk yang dijual di aplikasi seperti Tiktok. Tambahan pula, usahawan boleh membuat siaran langsung untuk mempromosikan produk melalui pelbagai platform seperti Shopee, Facebook dan Instagram. HOS 2- NUR ALISYA HANIM Perkongsian yang sangat menarik sekali cik Syaza. Sudah semestinya para usahawan yang lain sudah mencatat info-info penting yang dikongsikan oleh cik Syaza pada hari. Semoga Cik Syaza dan ahli usahawan yang lain berjaya untuk menaik tarafkan hasil penjualan barangan mereka kelak. Sekian itu sahaja, kini beralih kepada moderator untuk melancarkan sesi penutupan. MODERATOR- NUR SAKINAH Terima kasih atas perkongsian para tetamu jemputan kita pada hari ini. Sebagai pengajarannya, kita mempelajari bahawa wabak COVID-19 bukanlah halangan bagi pelajar untuk berhenti menimba ilmu, suri rumah tidak melakukan kerja, guru putus asa untuk mengajar dan usahawan untuk berhenti berniaga. Musibah bukanlah satu halangan untuk berhenti malah untuk memperkuatkan lagi semangat setiap insan yang mampu mengharunginya. Bukan keseorangan tapi bersama-sama kita mencegahnya. Ingatlah bahawa ‘Dulu Lain, Sekarang Lain’ dan ‘Kini Kita Semua Adalah Frontliner’. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada keempat-empat tetamu kita kerana sudi hadir dan sudi menyuakan pendapat masing-masing pada hari ini. Moga apa yang kita dapat hari ini tidak sekadar ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’. Saya sudahi dengan Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan sekian terima kasih. Pohon berangan tempat bertemu, Girangnya rasa si anak dara; Baliklah tuan membawa ilmu, Binalah bangsa bangunkan negara. Dari Kedah ke pekan sari, Beli suasa di Kota Tinggi; Selesai sudah tugas diberi, Di lain masa bersua lagi.

Comments